Ulek Mayang

Khamis, 15 Oktober 2009















Tarian Ulek Mayang adalah sebuah tarian asli masyarakat Terengganu. Dalam bentuk asalnya adalah sebuah tarian memuja semangat. Penarinya akan menggunakan mayang pinang dan mengoncangkannya semasa menari sehinggalah ia merasakan mayang pinang tersebut bergoncang dengan sendirinya dilepaskan kepada penari yang lainnya.

Tarian ini kebiasaannya adlah untuk memuja semangat laut. Namun pada hari ini, kepercayaan atas semangat telah tiada lagi atas pengaruh Islam dan tarian ini cuma tinggal sebagai bentuk hiburan sahaja.

Gamelan














Gamelan Melayu adalah berbeza dengan permainan Gamelan yang berasal daripada Tanah Jawa atau Bali tetapi perbezaannya bukanlah terletak kepada pealatan muzik yang digunakan. Permainan Gamelan telah diperkenalkan di negeri Pahang pada tahun 1811 daripada kerajaan Riau-Lingga dan telah berkembang ke negeri Terengganu hasil daripada perkahwinan DiRaja kedua buah negeri tersebut. Daripada 60 buah lagu yang telah dibawa itu telah hilang bersama-sama dengan kematian pemain-pemain asalnya dan hanya sentengah sahaja iaitu 30 buah lagu yang tinggal yang mana 12 daripadanya yang sering dimainkan.

Gamelan Melayu adalah adalah amat mudah jika dibandingkan dengan Gamelan Jawa atau Gamelan Bali dimana hampir kesemua alat gamelan dimainkan serentak untuk menghasilkan lagu berlainan dengan Gamelan Jawa yang amat terikat permainannya. Alat-alat Gamelan yang digunakan adalah seperti saron, gambang, keromong or bonang, kenong, gong dan gendang.

Sebagai satu adat dalam permainan Gamelan, para pemainnya akan bergerak di antara peralatan muzik tersebut daripada satu alat kepada alat lain yang berikutnya. Gamelan Melayu dipermainkan terutamanya semasa adat istiadat DiRaja dan acara-acara rasmi dan para pemainnya pada kebiasaannya dilatih di Istana DiRaja.

Tarian Balai


















Tarian ini pada asalnya bersangkut paut dengan pemujaan semangat padi dan ditarikan oleh anak-anak gadis desa di Negeri Terengganu. Kini tarian ini hanya menjadi khazanah kebudayaan Negeri Terengganu.

Pergerakan dalam tarian mengambarkan kebudayaan petani atau penanam padi. Payung yang berwarna-warni diletakkan di tengah-tengah pentas dan gadis-gadis penari tersebut akan menari mengelilingi payung yang menjadi simbol dan lambang semangat padi.

Semasa tarian itu, sebilangan perkakas-perkakas menanam padi digunakan seperti cangkul, penuai padi, topi penanam padi dan seumpamanya digunakan. Tarian ini pada kebiasaannya akan di iringi dengan nyanyian.

Tarian Saba
















Tarian ini pada suatu masa dahulunya adalah merupakan sebuah tarian pemujaan namun pada hari ini ianya ditarikan hanya semata-mata untuk tujuan kesenian dan sebagai salah satu persembahan hiburan sahaja.

Tarian ini adalah kombinasi gabungan nyanyian, tarian dan muzik. Ianya dikatakan berasal daripada Negeri Terengganu.

Alat-alat muzik tradisional seperti anak ambang (buluh), anak cerating, rebana dan seruling digunakan membentuk sebuah okestra sementara lagu-lagu yang dinyanyikan pula adalah di dalam bentuk nada dan irama kontemporari.

Rodat















Permainan rodat merupakan salah satu daripada kesenian rakyat Terengganu yang masih subur hingga sekarang. Permainan ini terdiri dari satu pasukan terdiri daripada pemukul rebana tar, orang meneggak dan mak inang. Pemukul rebana juga bertugas sebagai penyanyi bagi mengiringi orang menenggak dan mak inang. Ketua kumpulan ini dinamakan Tukang Adi yang akan membacakan lagu-lagu rodat dari kitab Hadrah. Kitab ini dipercayai dari Timur Tengah. Biasanya lagu-lagu rodat ialah tentang pemujian terhadap Tuhan dan nabi. Namun ada kalanya juga telah diMelayukan mengikut suasana semasa.

Rodat selalunya dipertunjukkan waktu malam. Biasanya dari jam sepuluh malam hinggalah fajar menyinsing. Pertunjukan diadakan apabila adanya majlis-majlis kahwin, kenduri, khatan, pesta-pesta perayaan atau Temasya Main Pantai

Mak Inang adalah merupakan tarikan utama terhadap sesebuah kumpulan rodat. Inang yang terdiri daripada gadis atau perempuan muda hanya keluar sekali sekala sahaja dan sentiasa diawasi oleh kumpulan tenggak. Pada zaman dahulu, setiap kali inang keluar, para penonton khususnya pemuda akan melontarkan rokok dan ada kalanya duit kepada mereka ini.

Tarian Inang




















Tarian Inang adalah versi moden terhadap tarian tradisional Mak Inang. Ianya di tarikan pada majlis keramaian orang ramai. Tarian ini mempunyai tempo yang pantas dan di iringi dengan alat muzik rebana, biola dan gendang.

Lagu dan Tarian Mak Inang berasal daripada zaman Kesultanan Melaka. Lagunya dikatakan telah digubah di atas titah perintah daripada Sultan Mahmud Shah yang berkemungkinan untuk tujuan melenakan baginda di peraduannya.

Adalah sangat lemah gemalai tariannya dan mempunyai ciri-ciri yang bersesuaian untuk di tarikan di Istana Di-Raja. Ianya turut dinamakan juga sebagai Tarian Si Kembang Cina kerana banyak terdapat pengaruh Cina terhadap muziknya. Kadangkalanya penari-penarinya mengunakan skaf panjang semasa melakukan persembahan.

Wayang Kulit














Antara acara theater tempatan yang banyak dikenali di Malaysia ialah wayang kulit. Sebelum kemunculan peti televisyen, wayang kulit merupakan aktiviti kegemaran umum pada waktu malam hari. Tok Dalang merupakan orang penting dalam memainkan permainan wayang kulit dengan boneka-boneka dengan gaya pergerakan yang menarik dibelakang tabir putih bercahayakan sinaran lampu pelita.

Sementara bayangan daripada boneka-boneka tersebut terbayang pada skrin tersebut, Tok Dalang tanpa henti-henti melakunkan watak-watak berkenaan sambil pada masa-masa tertentu menyanyikan perbagai lagu untuk mencerminkan watak-watak dalam rangkaian cerita yang selalunya mengambil masa berjam-jam lamanya untuk berakhir.

Cerita wayang kulit di ilhamkan daripada epik Hindu iaitu Hikayat Seri Rama (Ramayana) yang mengisahkan perbagai cerita tentang manusia ajaib. Terdapat juga watak-watak melayu dan jawa dalam cerita berkisarkan kebaikan menentang kejahatan dalam plot cerita klasik. Watak-watak perwira, binatang, gergasi, halimunan, raja dan pendeta yang sering berlawan antara satu dengan yang lainnya sehingga ke penghabisan cerita menjadikan wayang kulit sebagai suatu epik yang memberangsangkan.

Oleh kerana epik ceritanya berkisarkan epik Hindu menjadikan wayang kulit pernah diharamkan di Negeri Kelantan pada masa-masa tertentu sebagai bertentangan dengan ajaran Islam kerana banyak mengarah kepada pemujaan dewa-dewa sebagaimana yang terdapat dalam cerita-cerita itu.